Author: haikal ambri
•10.53





Semenjak dua menjak ini saya rasa tertarik untuk berkongsi dgn anda semua tentang PHD.Bukannya (Doctor of Phylosophy) tetapi penyakit hasad dengki.


Setiap orang yang mempunyai perasaan dan berakal memang mengetahui apa yang dinyatakan sebagai hasad dengki. Malah, kita mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi;


Yang bermaksud: Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut. (Surah al-Imran: 120)


Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;


Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu!. Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. (Al-Maidah: 27)


Kisah ini mengenai konflik yang berlaku di antara dua orang putera Nabi Adam a.s., yakni Qabil dan Habil. Apabila Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun, mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah s.w.t. Dengan dua bentuk korban yang persembahan kedua-duanya amat berbeza, maka tentulah Allah memilih korban yang baik dan dipersembahkan dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba. Lantaran itu, Allah s.w.t. pun memerintahkan api untuk memakan korban yang dipersembahkan oleh Habil. Bagaimanapun, Qabil tidak merasa senang dengan keadaan tersebut dan merasa iri hati terhadap Habil. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan rasa dendam di dalam diri Qabil.



Selain Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, Qabil juga turut mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.

Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun menemui Habil dan menyatakan, Sesungguhnya aku mahu membunuhmu. Habil pun bertanya dengan perasaan yang amat hairan, Mengapa engkau mahu membunuh aku? Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, Kerana Allah menerima korbanmu dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan berbangga kepada keturunanku.

Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi Nuh a.s.



Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;


Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.


Rasulullah s.a.w. bersabda;


Yang bermaksud: Sesungguhnya pada nikmat Allah taala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.


Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).


Saya tertarik untuk berkongsi kata-kata hikmat ini yang mengatakan;


Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan.


Jika dilihat kepada akibat yang bakal diterima oleh mereka yang mempunyai perasaan ini, maka kerugian yang perlu ditanggung amat besar nilainya. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang tidak melakukan apa-apa untuk menahan daripada perasaan ini wujud. Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini.


Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.


Ketakwaan seorang hamba pula akan menjadikan seseorang manusia itu menginsafi akan kewujudannya di bumi ini. Di dunia ini, sebagai seorang khalifah dia diperintahkan untuk memakmurkan muka bumi ini, menyayangi sesama umat Islam, berlaku adil, membuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Dia akan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dia meyakini bahawa sebaik-baik umat manusia adalah yang paling bertakwa kepada Allah.


Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafaat dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.



Walaupun demikian, sebenarnya terdapat sedikit ruang atau keringanan dalam perkara dengki. Sebenarnya, tidaklah jatuh haram atau berdosa sekiranya seseorang itu merasa iri hati apabila memandang kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh orang lain tanpa harapan atau cita-cita untuk melihat kelebihan tersebut hilang dan lenyap dari pemiliknya.



Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari penyakit ini.Marilah sama2 kita menyucikan hati kita agar sebersih kelopak bunga melor ini.Buang yg keruh dan ambil yg jernih.Sesungguhnya masih ader ruang untuk kita perbaiki diri kerana Allah maha pengampun..terima kasih dan tahniah kerana berjaya habis baca entry ini..maaf sebab panjang :)
|
This entry was posted on 10.53 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.